Dari Pena Rijal

Assalamualaikum wbt. Menemui pembaca setia 18Kippu dan Shiroi Koibito, semoga berada dalam rahmat  Allah hendaknya. PENGUMUMAN! Buat pembaca kami sekalian, tahun ini pihak kami mengadakan pertandingan menulis karya; Dari Pena Rijal.. Dari Pena Rijal yang pertama kali diadakan ini adalah terbuka kepada semua muslimin dan muslimat -pemegang passport Malaysia yang berada di Jepun. KAMI MENANTI KARYA ANDA! 😉

Ehem ehem… Saya tahu  ramai di luar sana yang setelah mendengar Ini Sejarah Kita, Syahadatul Haq, Sayonara Jahiliyah dan sebagainya; pasti tak senang duduk, hati seperti melompat-lompat mahu buat sesuatu untuk Islam, kan? Ahhah! Mungkinkah ini peluang untuk anda membuat amal dakwah?

Hey hey hey. Medan dakwah bukan hanya pada ceramah sahaja, betul? Teringat petikan kata-kata Ustaz Salim A. Fillah dalam salah satu bukunya yang menyebut; jika dakwah hanyalah ceramah, maka yang dunia perlukan hanyalah lidah, tak perlu anggota yang lain. Jadi jangan lepaskan peluang amal dakwah ini. Mungkin dari sini anda boleh mencari logam dalam diri anda? Dan mungkin ini menjadi titik tolak untuk anda istiqamah berkarya demi ummah? Sedia?

SYARAT-SYARAT
Seperti semua sedia maklum, setiap pertandingan pasti ada syarat-syaratnya. Maka, bagi sesiapa yang ingin menyertai Dari Pena Rijal, hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Anda adalah seorang muslim atau muslimah, warganegara Malaysia dan menetap di Jepun.
  2. Karya anda adalah bebas. Tak kisah lah nak tulis dalam kategori apa. Contohnya seperti; artikel, cerpen, puisi dan sebagainya. Terpulang pada kreativiti anda. Panjang karya juga adalah bebas.
  3. Karya anda hendaklah sama ada dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Jepun. Karya yang dihasilkan dalam bahasa lain akan ditolak penyertaannya. Pihak kami juga tidak menggalakkan anda untuk terlalu banyak mencampur-adukkan tiga bahasa tadi (sama ada ketiga-tiganya atau dua daripadanya) dalam satu karya.
  4. Setiap karya yang dihasilkan hendaklah mengikut tema salah satu daripada tema berikut:
    • Aku, Islam dan Jepun
    • Mereka Robot Bernyawa?
    • Sayonara Jahiliyah
    • Mencari Hati (心探し)
    • Kebenarannya (本当なのは)
    • Akhwat Pakai Jersi
    • Di Jalan Ini Aku…
    • Aku Tanpa Bulatan Gembira
    • Di Sini Aku Bertemu Cinta
    • Dalam Hati Ada…
      Anda boleh menghantar seberapa banyak karya sebelum tarikh tutup pertandingan. Namun demikian, setiap karya yang anda hantar hendaklah berbeza temanya. Contohnya, anda telah menghantar karya pertama dengan tema A, maka karya kedua tidak boleh lagi menggunakan tema A.
  5. Setiap karya hendaklah mematuhi polisi penulisan yang telah ditetapkan oleh pihak kami; iaitu:
    • Sumber yang diambil mestilah sahih. Elakkan mengambil sumber dari berita yang samar dan tidak pasti kesahihannya. Sumber dari Al-Quran hendaklah ditulis seperti [Al-Fatihah 1:3] dan [Al-Fatihah 1:3-6] selepas petikan ayat tersebut. Bagi hadis pula, hendaklah ditulis seperti [HR Bukhari].
    • Elakkan menulis karya yang bermain dengan isu sensitif seperti isu politik, perkauman dan sebagainya.
    • Tidak menyalin-tampal (copy-paste) karya orang lain. Sila rujuk syarat nombor 6.
    • Tidak menggunakan link mahupun quote daripada artikel lain. Kata-kata sahabat, tokoh dan sebagainya dibenarkan dengan menulis berdasarkan gaya bahasa anda sendiri.
    • Tidak menggunakan short form seperti: cth, dgn, yg, &, hati2 dan sebagainya.
    • Gunakan huruf besar pada setiap permulaan ayat. Jangan lupa jarak (space) selepas noktah dan koma.
    • Tidak perlu meletakkan gambar.
  6. Karya anda mestilah asli, yakni karya anda adalah hasil perahan otak, tulus dari hati dan diterjemahkan sendiri oleh jari jemari anda tanpa ada unsur-unsur mengambil karya orang lain. Anda dilarang sama sekali untuk mempublisitikan karya yang telah anda hasilkan di blog, Facebook dan sebagainya selama tempoh pertandingan ini dijalankan dan selama tempoh pengadilan dilakukan. Dan kami juga tidak akan menerima karya yang telah anda hasilkan sebelum pertandingan ini diadakan walaupun ianya adalah seratus peratus hasil karya anda. Ini adalah demi menjaga hak cipta anda sendiri.
  7. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 14 Disember 2012 pada jam 11:49 malam. Sebarang penyertaan selepas dari waktu tersebut akan ditolak. Hantarkan karya anda di sini dan isi lengkap maklumat-maklumat yang kami perlukan.
  8. Kami bebas menggunakan dan menerbitkan karya-karya yang anda hantar dalam saluran-saluran media kami, di Facebook, blog dan sebagainya.
  9. Baca sekali lagi syarat-syarat  di atas.

HADIAH DAN GANJARAN

Kami tidak menjanjikan hadiah yang lumayan untuk anda. Tapi insyaAllah akan cuba memberikan yang terbaik selagi kudrat dikandung badan. Cewah. Mungkin karya anda akan kami kongsikan di blog kami. Hmm teruja? Tentunya ganjaran yang lebih baik itu hanya Allah yang layak memberikannya pada anda. Semoga dengan penulisan anda, Allah membuka hati ramai lagi manusia di luar sana untuk kembali ke landasan yang benar. Kita hanya mengetuk, tapi yang membukanya adalah Allah 🙂

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebaikan dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang yang berserah diri”?
[Fushshilat 41: 33]

Sekian pengumuman daripada saya, sebagai wakil barisan penulis-penulis 18Kippu dan Shiroi Koibito. Sebarang pertanyaan boleh diajukan di laman Facebook kami; Shiroi Koibito.

Angkat pena mu dan tulislah,
bukan kerana sekadar mahupun semata.
Tulislah- bukan sebuah keraguan;
tapi kau hidup dengan katamu.

Sekian Allahualam.

2 thoughts on “Dari Pena Rijal

  1. Assalamualaikum

    Saya ingin bertanya sama ada kalau seseorang tidak menetap di Jepun, tetapi mahu menghantar karya sekadar menghantar, bukan sebagai entry pertandingan ini…

    • Saudara/i Komonci, terima kasih kerana berminat untuk menyumbang karya. Kami amat menghargainya. Kalau sekadar menghantar, insyaAllah boleh sahaja, Mana tahu, karya anda itu boleh dipertimbangkan untuk dipamerkan di blog kami. Siapa tahu, kan.. hantarkan sahaja…^^

Leave a comment