Sirah

Panas Khandak

Terik matahari tak pernah bisa mengeringkan basahnya iman mereka.

Di Facebook, Twitter, mahupun Instgram, sudah ramai yang merakamkan bahangnya Jepun sekarang! Panas-panas begini teringat kisah Perang Khandak.

Perang Khandak berlaku pada bulan Syawal tahun ke lima Hijrah. Nama lain adalah Ahzab; seperti yang Allah nukilkan dalam Al Quran.

Perang Ahzab tercetus kerana kedengkian musuh Islam yang tak pernah padam. Bermula apabila orang-orang Yahudi mengajak musyrikin Quraisy, Kinanah, Gathafan dan kabilah-kabilah lain di Tanah Arab untuk memerangi Rasulullah SAW. Ajakan ini pada musyrikin Quraisy membangkitkan semula dendam dalam diri kaum musyrikin dan dilihat dapat mengembalikan nama baik mereka yang tercemar ketika Perang Badar dan Uhud. Akhirnya pakatan ini berjaya mengumpulkan sepuluh ribu tentera! (Dikatakan bilangan tentera bersekutu ini melebihi bilangan penduduk Madinah pada ketika itu!) Berangkatlah tentera bersekutu ini menuju Madinah.

Sesampainya berita ini pada pengetahuan Rasulullah SAW, baginda berbincang dengan para sahabat strategi mempertahan Kota Madinah. Lalu Salman al Farisi, si pencari kebenaran; menyuarakan fikiran -dari pengalamannya di Parsi -untuk mereka menggali parit sekeliling Madinah. Lalu Baginda SAW mengambil keputusan ini untuk dilaksanakan.

Bermulalah kerja menggali parit oleh tentera Muslimin di bawah teriknya matahari, di padang pasir yang gersang. Ohh bayangkanlah. Kita di sini masih dikira ok sebab panas je, belum tanah Jepun ni jadi padang pasir. Panas je, tapi ada kipas angin dan air-cond. Panas je, tapi masih boleh minum air Van Houten yang dingin. Eceh…

Tidak pada tentera Muslimin ketika itu. Mereka bekerja keras walaupun lapar. Anas bin Malik menceritakan bahawa, “Tentera Muslimin pada ketika itu diberi gandum sebanyak segenggam, kemudian dimasak dengan minyak yang hampir basi, lalu dihidangkan di hadapan mereka sedang mereka sangat lapar. Makanan itu meloyakan tekak dengan bau yang tidak disenangi.”

Abu Talhah pula menceritakan bahawa; “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW akibat kelaparan. Kemudian kami melapik perut dengan dengan batu, Rasulullah sendiri melapik perutnya dengan dua biji batu.”

Namun Allah SWT tidak pernah membiarkan hambaNya yang beriman bersendirian. Allah kurniakan mukjizat kepada Rasulullah SAW hingga daging dan roti yang disediakan Jabir bin Abdullah dan isterinya; kurma yang dibekalkan oleh saudara perempuan al-Nu’man bin Basyir -bertambah walaupun mereka selesai makan. Subahanallah!

Dalam pada mereka bekerja keras, Rasulullah SAW yang kita sayangi tidak putus menaikkan semangat tentera Muslimin. Baginda bersabda;

Ya Allah, sesungguhnya tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat.
Maka ampunkanlah orang-orang Muhajirin dan Ansar.

Cerita agung dalam Perang Khandak adalah cerita Rasulullah melihat masa depan- kemenangan umat Islam.

Sewaktu menggali parit, tentera Muslimin dihalang oleh batu besar yang tidak dapat dipecahkan dengan cangkul. Mereka Mengadu pada Rasullah, lalu baginda datang bersama cangkul dan membaca basmallah. Tiga pukulan baginda menghasilkan percikan api, dan dengan tiga pukulan tadi berjaya menghancurkan batu tadi… Setiap kali pukulan, baginda bertakbir.

Sahabat pun bertanya, “Apakah yang telah berlaku wahai Rasulullah?”

Jawab Baginda, “Aku telah melihat beberapa percikan api. Percikan pertama aku melihat bayangan di udara Istana Putih di negeri Yaman. Percikan kedua aku melihat bayangan Istana Kisra di Tanah Parsi, dan percikan ketiga aku melihat mahligai raja-raja di Constantinople”.

Dalam riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Baginda pernah menjanjikan, “Pastilah kamu akan menakluki Constantinople, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Mendengar saja apa yang Rasulullah katakan, bertambah semangat mereka yang kuat imannya. Mereka melihat satu cita untuk dikejar! Mereka terus menggali parit sehingga siap- tanpa hirau dahaga dan panas.

Lalu bila sepuluh ribu tentera bersekutu mampir, mengepung Madinah dari arah utara dan selatan, gentarlah hati golongan munafik.

Dan masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan kuat iman dalam hatinya berkata; “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.”
[Al Ahzab 33:12]

Entah bagaimana kita jika menghadapi saat itu… Mendengar janji Rasulullah akan jatuhnya Parsi dan Rom ke tangan Islam- sedangkan ketika itu berhadapan dengan sepuluh ribu tentera yang ingin menghancurkan Islam. Adakah mungkin keyakinan kita goyah ketika itu. Nauzubillah min zalik.

Tapi tidak pada mereka yang kuat imannya.

Dan pada masa orang-orang beriman melihat tentera al Ahzab, mereka berkata; “Inilah apa yng telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah Allah dan RasulNya.” Dan itu tidak memberi sebarang kesan kepaa mereka melainkan menambahkan iman dan penyerahan diri mereka sepenuhnya pada Allah.”
[Al Ahzab 33: 22]

Keyakinan mereka yang beriman pada janji Allah, pada masa depan Islam tak pernah goyah meski ketika itu menghadapi saat yang getir. Bahkan kehadiran tentera itu menambahkan keyakinan mereka pada kata-kata Rasulullah.

Bersiap siagalah Rasulullah bersama tiga ribu tentera Muslimin. Khandak terbentang di hadapan mereka, di antara mereka dengan tentera bersekutu. Golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak berlindung di dalam kota.

Tentera bersekutu yang melihat parit besar mengelilingi Madinah merasa terkejut kerana tidak pernah memikirkan strategi perang seperti itu. Lalu mereka cuba mencari jalan lain untuk menembusi Madinah.

Berbeza dengan perang lain, Perang Khandak tidak berlaku secara langsung melainkan masing-masing kedua-dua belah pihak menghujani musuh dengan anak panah kerana mereka disempadani dengan parit. Lebih kepada pertahanan. Perang Khandak dikatakan perang saraf, bukan pertarungan.

Di luar kota mereka disibukkan dengan serangan bertubi-tubi tentera bersekutu, sehinggakan tentera Muslimin hampir tidak dapat menunaikan solat.

Daripada Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari Perang Khandak; “Semoga Allah memenuhkan rumah dan kubur mereka dengan api sebagaimana mereka menyibukkan kami dari solat Asar sehingga terbenam matahari.”
[HR Bukhari]

Di dalam kota pula, mereka terpaksa menghadapi pengkhiatan Yahudi Qurayzah. Kedatangan seorang Yahudi Qurayzah yang menghampiri kubu di dalam kota yang menempatkan wanita dan kanak, seakan-akan memberi ancaman kepada wanita dan kanak-kanak. Namun dengan keberanian seorang wanita bernama Safiyyah bin Abdul Mutalib- ibu saudara Rasulullah SAW, berjaya membunuh lelaki Yahudi tadi.

Tentera bersekutu (Ahzab) akhirnya berundur pada awal Zulkaedah apabila Allah mencampakkan rasa gentar dalam diri mereka. Mereka mula berpecah dan menarik diri dari peperangan itu.

….

Begitulah kisah serba sedikit tentang Perang Khandak. Mungkin selama ini kita memahami kemenangan umat Islam dalam Perang Khandak adalah kerana keutuhan kubu pertahan tentera Muslimin- menggunakan strategi perang menggali parit yang diambil dari tamadun Parsi. Tapi ketahuilah kemenangan itu hanya dari Allah. Kerana keimanan tentera Muslimin pada janji Allah dan RasulNya, juga kecintaan mereka mengejar syahid, mengimpi syurga. Keimanan mereka bukan membutuhkan mereka untuk hanya menunggu terjadinya apa yang Allah janjikan. Tapi keimanan mereka melahirkan kata kerja- tindakan.

Kita mungkin sedia maklum, Constantinople akhirnya berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al Fateh selepas hampir 800 tahun Rasulullah mengungkapkan kata-kata itu dalam Perang Khandak. Selama tempoh itu bukan tiada para sahabat yang berusaha membuka Constantinople, malah usaha itu tidak pernah padam- dan merupakan rantaian usaha menyambung dari generasi ke generasi seterusnya. Begitu keimanan mereka.

Banyak ibrah yang boleh kita ambil dari kisah ini.

Keteguhan iman juga kecintaan kita pada yang belum terlihat membutuhkan usaha yang mantap dan sabar berpanjangan.

Sumber: Sirah Nabawiyyah (Ar Raheeq Makhtuum)

al katum- praktikkan kisah khandak dalam membuat persiapan peperiksaan. 🙂

Allahualam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s