Sirah

Kisah Pemuda Yang Terlewat

Pemuda yang terlewat

Pemuda yang wajahnya menyerupai Rasulullah s.a.w

Pemuda yang lantang menentang Islam

Namun, dia juga sempat merasai hidayah Allah

Meskipun dia pemuda yang terlewat

Mungkin ada yang dapat meneka siapa yang saya maksudkan. Mungkin juga ada yang tidak pernah tahu, adakah pemuda yang saya maksudkan itu termasuk dalam golongan sahabat yang sempat memeluk Islam. Ya, pemuda yang saya maksudkan itu adalah Abu Sufyan bin Haris, sepupu junjungan mulia, Rasulullah s.a.w.

Abu Sufyan, antara kerabat yang paling rapat dengan baginda, bahkan dilahirkan sebaya. Bapa kepada Abu Sufyan, merupakan saudara Abdullah, bapa kepada baginda s.a.w. Abu Sufyan dan Rasulullah juga dikatakan sama-sama menyusu dari ibu susu yang sama, Halimah Sa’diyah. Kerana hubungan yang rapat inilah, ramai yang percaya bahawa

Abu Sufyan yang akan terlebih dahulu menyahut seruan Islam yang dibawa baginda s.a.w. Namun, seperti yang kita tahu adalah sebaliknya. Abu Sufyan antara yang paling kuat menentang baginda. Persahabatan dan hubungan kekeluargaan mereka retak, setelah baginda menyampaikan Islam. Dia pemuda yang terlewat merasai Islam.

Semasa pembukaan kota Mekah, beberapa orang yang darahnya dihalalkan untuk dibunuh atas dasar penentangan yang kuat ke atas Islam. Selepas pembukaan semula kota Mekah juga, Abu Sufyan merasakan dunia ini sempit baginya. Duduknya tidak tenang. Lantas beliau pergi menemui Rasulullah s.a.w. Namun, semasa Rasulullah s.a.w. melihat beliau datang, baginda memalingkan wajahnya dari Abu Sufyan. Abu Sufyan lantas berpindah arah ke tempat baginda memalingkan wajah, tetapi baginda memalingkan wajahnya ke arah lain pula. Situasi ini berulang-ulang beberapa kali. Melihatkan Rasulullah s.a.w memalingkan wajahnya dari Abu Sufyan, kaum muslimin yang berada di situ juga turut berbuat yang sama. Dadanya terasa sempit. Apa lagi yang harus dia perbuat untuk Rasulullah memaafkannya.

Selepas berlalu beberapa ketika, baginda memaafkan Abu Sufyan dan menerima keislamannya. Semenjak itu, beliau banyak menghabiskan masanya dengan beribadah dan memohon taubat atas dosa-dosanya yang lalu.

Dalam perperangan yang terjadi selepas pembukaan kota Mekah, beliau tidak ketinggalan turut serta. Semasa Perang Hunain yang menyaksikan tentera Islam hampir kalah, Abu Sufyan antara yang paling kuat melindungi baginda. Beliau terus berada di sisi baginda sambil memegang tali kuda baginda. Setiap musuh yang meghampiri, dicantas dengan berani. Rupa-rupanya, sejak pertempuran berkecamuk, beliau tidak pernah meninggalkan Rasulullah dan tetap berada di sisi baginda. Rasulullah s.a.w. memandangnya dekat-dekat, lalu bersabda, “Aku telah memaafkan mu, dan Allah telah mengampunkan dosa-dosa mu”.

Setelah Perang Hunain berlalu, Abu Sufyan berasa lebih tenang. Dirasakan Allah itu lebih dekat. Malah masanya banyak dihabiskan di masjid. Suatu ketika Rasulullah s.a.w melihatnya di dalam masjid, lantas baginda berkata kepada Aisyah, “Wahai Aisyah, tahukah kamu siapa itu?”

Aisyah menjawab, “Tidak, ya Rasulullah.”

Lalu baginda berkata, “Itulah saudaraku Abu Sufyan, pandangannya tidak beranjak dari tempat sujud.”

Beliau akhirnya meniggal dunia semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Ibrah

Jika ditanya kepada saya, apakah ibrah yang saya lihat dari kisah Abu Sufyan, saya akan menjawab dengan potongan hadis berikut

“..Demi Allah yang tiada Tuhan yang berhak disembah selainNya, sesungguhnya ada seorang di antara kalian yang sentiasa beramal dengan amalan penghuni syurga sehingga jarak antara keduanya tinggal sehasta, namun ketetapan Allah mendahuluinya lalu dia melakukan amalan penghuni neraka hingga dia masuk ke dalamnya, dan sesungguhnya ada seorang di antara kalian yang sentiasa beramal dengan amalan penghuni neraka, hingga jarak antara keduanya tinggal sehasta, namun ketetapan Allah mendahuluinya, lalu dia melakukan amalan penghuni syurga, hingga dia masuk ke dalamnya”

(HR Bukhari-Muslim)

Yang sedang berada di landasan yang benar, jangan pernah merasa selamat, teruskan sehingga syurga berada di depan mata.

Yang sedang atau masih mencari, jangan berputus asa, kerana Allah itu tidak pernah zalim, Dia sentiasa dekat.

Dia pemuda yang terlewat.

Tapi dia mungkin yang terawal menjejak syurga.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s